Wednesday, August 18, 2010

Doa Untuk Atuk


Jauh berkelana membawa diri
Tinggal semua yang kukasihi
Gundah gulana tidak terperi
Rawan hati ku tanggung sendiri



Tinggal lagi 2 hari je sebelum aku berangkat pergi. Pergi jauh dari semua bukan buat seminggu dua. Macam mana nak aku gambarkan perasaan ni. Tak pernah aku jauh dari keluarga dan sanak saudara. Ya, aku pernah lima tahun tinggalkan keluarga, tapi cuma di Seremban. Atuk dan ibu datang berselang minggu. Tak pernah aku rasa kesunyian. Ya, aku pernah lebih jauh dari situ semasa di Kelantan menjalani latihan khidmat negara. Tapi cuma tiga bulan. Dan aku pulang setiap bulan. Baru di Kelantan! Baru di Kelantan! kata kalian. Tapi seminggu yang pertama mataku merah saja. Terpandangkan bantal, menangis. Terpandangkan tilam, menangis. Terpandangkan dinding, menangis. Masuk tandas, meraung terus. Manja? Ya memang kuakui. Lagaknya bagai bayi? Ya maafkan, sebati dengan diri.

Tiga hari bersama atuk dan nenek di kampung. Tuhan saja yang tahu sukarnya aku menahan sebak setiap kali memandang wajah atuk. Baik dalam jaga mahupun saat lena. Sakit dada rasanya menahan tangis dan hiba, terkenang atuk yang bakal kutinggalkan. Aku bersama atuk dalam duka dalam tawa. Aku bersama atuk sejak bayi hingga dewasa. Masa-masa ini teringat kenangan dahulu sewaktu membesar di kampung. Meronda kampung dengan motor Honda atuk. Ketika belajar solat dirotan kerana tak sempurna bacaan. Ketika bermanja berbaring di riba atuk. Ke mana saja atuk pergi wajib aku ekori.Apabila nenek pergi meninggalkan aku buat selamanya hubungan dengan atuk bertambah akrab. Seperti belangkas tak mungkin atuk jauh dari pandangan mata.

Ketika aku jauh menuntut ilmu di sekolah dan matrikulasi atuk tetap datang selang seminggu membawa apa saja yang kupinta. Megah atuk berbangga akan cucunya belajar di sekolah ternama. Sehingga aku meningkat remaja dan didatangi masalah pada atuklah tempat ditimpakan segala aduan. Tenang atuk mendengar, menasihat dan memberi jalan penyelesaian. Bila gusar, telefon atuk. Bergaduh dengan ibu, balik kampung jumpa atuk. Masalah kewangan, juga mengadu pada atuk.

Tamat pengajian, atuklah orang yang paling bangga. Katanya itulah sahaja yang beliau pinta. Cuma sekeping sijil itu sahaja yang telah menggembirakannya. Sekeping sijil yang membuatkannya bangga. Basah mata atuk mengucapkan tahniah. Tidak sia-sia lelah payah beliau membesarkan. Tidak sia-sia leter motivasinya mendisiplinkan. Tidak sia-sia ribuan ringgitnya dilaburkan.

Saat-saat aku mahu meninggalkan kampung, air mata mengalir laju bagai tak dapat ditahan-tahan lagi. Teresa-esak tangisku memohon restu. Basah pipiku mohon doa berterusan dari atuk. Dalam sedu-sedan aku pohon atuk bertahan, meminta Tuhan panjangkan umurnya, melihat aku pulang dengan jayanya. Bukan sedih hati ku pergi lama, tapi alangkah ralatnya jika atuk pergi semasa ketiadaanku. Alangkah terkilan jika atuk telah tiada untuk melihat kejayaanku. Bergetar suara atuk, sekeras sekental cekal hati lelakinya, mengalir juga air mata dari bibir mata atuk yang tua. Tertahan-tahan suaranya dalam sendu meminta agar aku terus mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau. Agar terus menghirup udara bumi walau dalam keuzuran. Agar boleh beliau lihat aku pulang lagi dengan kejayaan. Aku dirangkulnya erat dalam kepayahan. Tak sudah-sudah pipinya kucium. Biar basah. Biarlah. Aku makin lemah. Terus semakin keras esak tangis kami. Bercampur dengan esakan nenek dan yang lain yang berada di situ.


Oh Tuhan sajalah yang mengerti hancur luluhnya hati waktu melihat atuk menangis melepaskan ku pergi. Bukan ke utara bukan ke selatan boleh ku bergegas pulang sekiranya sesuatu terjadi. Aku pergi merentas negara menyeberangi lautan. Aku pergi bukan seminggu bukan sebulan. Lima tahun telah pasti berkelana menambah imu di dada.


Hanya pada Mu tuhan aku pohon, kurayu dan kupinta. 
Apalah kiranya Kau makbulkan doa. 
Apalah kiranya Kau tunaikan hajat. 
Apalah kiranya Kau panjangkan nikmat. 
Izinkanlah nadi atuk untuk terus berdenyut. 
Izinkanlah nafas atuk terus boleh dihela. 
Izinkanlah beliau melihat aku kembali bukan dengan tangisan sedih pilu lagi tapi biarlah dengan air mata gembira.


Hanya pada Mu lah Tuhan yang Maha Mengerti. 
Pemergian ku menuntut nilai pengorbanan yang amat-amat tinggi. Semua dengan niat berjihad menimba ilmu di jalan yang Kau redhai. Maka permudahkanlah urusanku ini Ya Allah. 
Luaskanlah jalan hambaMu ini. 
Janganlah Kau getarkan keyakinan ku dengan urusan hati yang hiba. Jangan Kau pudarkan semangatku dengan mainan perasaan yang meruntun jiwa. 
Janganlah Kau kusutkan fikiranku dengan kocakan berita yang membawa duka. 


Hanya pada Mu lah Tuhan yang Maha Berkuasa atas segalanya. 
Aku pohon supaya ditetapkan niat, diteguhkan iman, dikuatkan semangat, ditabahkan hati dan dicekalkan jiwa. 
Dengan izinMu lindungilah aku,
supaya sentiasa dalam lingkungan rahmatMu, 
supaya sentiasa bersama barakahMu, 
supaya sentiasa aku dekat padaMu.
Aaminn..


Biarlah orang-orang yang kusayangi di dunia ini terus bersama agar kelak aku bisa membalas jasa menabur budi.. :')




 Hj. Ibrahim Liman

Hjh. Saniah Jamal

3 comments:

umai said...

i feel like crying reading this..
sy doakn atuk sihat dpt tgk awk blik dgn gelaran dr. nnt...

coklathazel said...

menangeh aku baca post ko ni...bertabahlah wahai sahabat..

Anonymous said...

tahniah.. gud luck..