Friday, October 14, 2011

13 Oktober 2011

Kau terdengar kicauan beburung yang menyanyi di dada pelangi
Kau menggapai awan di langit memutih, dirimu lebur di mamah mentari 
Kau impikan harapan menggunung di lorong hanyir kehidupanmu
Kau hirup sari madu bunga beracun mewarnai dunia misteri mimpimu 

Kau calari setangkai hati ibunda yang menanti di bilahan hari-hari 
Kau hitamkan wajah ayahanda yang mengharapkan sinar kehidupan 

Apalah yang hendak diharapkan lagi semua kini sudah jadi tak pasti 
Bangkitlah segera dari mimpi ngeri pulihkan kembali sebuah harga diri 
Sinar hidupmu tiada nyalaan api, berlabuhlah di muara ini
Pasrahkanlah hidupmu ke lorong Ilahi 
Di sana menanti syurga yang abadi, di sana menanti syurga yang hakiki..


Berlinang air mata dengar lagu ni. Sayunya lirik, hibanya melodi buat hati macam diruntun dengan kesedihan. Allah, Allah, syukur kau lembutkan jiwaku sekarang. Macam mana sensitifnya kulitku terhadap perubahan cuaca sekarang, begitu jugak sensitifnya hati dan perasaanku. Maha Besar Tuhan yang terus menyemai dan menyuburkan jiwa aku dengan cinta dan kasih sayang terus-menerus terhadap sekalian insan yang banyak berkorban untukku, terhadap sekalian insan yang mempunyai erti terpenting dan darjat tertinggi dalam jalur hidupku. Maha Suci Tuhan yang masih menurunkan rahmat, menjauhkan aku dari keegoan, menghalang hatiku diselaputi benci dendam, menyelamatkan aku dari erti putus asa dengan kehidupan. 

Masih bergenang hati dengan lopak hiba mengenangkan berat dugaan yang ditimpakan, mengenang nikmat hidup Tuhan yang aku lupakan, kasih sayang serta harapan keluarga yang aku nafikan. Duhai Tuhan, jauhkanlah aku dari sifat kufur nikmat. Kerana kurangnya rasa syukur terhadapMu dulu  membawa aku jauh dari jalan redha.. 

Ujian menekan, aku akui sampai terdetik di hati, tak mampu lagi rasanya untuk meneruskan perjuangan. Susahnya nak mendidik jiwa untuk melihat semua hikmah dan kebenaranMu di depan mata. Tapi Tuhan Yang Maha Esa, Lebih Berkuasa. Dia tahu jalan hidup hamba-hambaNya, yang tersembunyi mahupun yang nyata.

BIla kenangkan GhafarMu Tuhan, beransur pergi rasa putus asa, semangatku pulih semula, harapanku subur kembali. Alhamdulillah, Syukur dan puji buat Tuhan.

Sempena peningkatan satu lagi angka umur ku, aku ingin  memohon dan berdoa untuk seluruh keluargaku. Dengan penuh harapan agar semakin tabah dan kental lah hati-hati kami menempuh segala liku cabaran.  Semoga semakin teguh keyakinan dan keimanan kami terhadap Tuhan, dilimpahi rahmat dan diiringi keberkatan setiap detik kami bernafas. Doaku moga sentiasa bahagia dan cekal, menempuh ranjau, menghadapi putaran roda kehidupan yang berombak. Semoga perjalanan usia seterusnya tidak lagi sia-sia. Semoga cinta dan kasih kami terus terikat kuat, berpandukan cinta dan kasih agung terhadapMu. Amin.



No comments: