Tuesday, June 9, 2009

Malam, Langit, Bintang dan Matahari

Langit malam ini kusam
Tidak terang seperti di sebelah hemisfera situ
Tapi bintang-bintang tetap bersinar
Dengan gemerlapan yang sama

Empat bintang itu membentuk buruj
Menjadi petunjuk pengembara di perjalanan
Menjadi kekaguman sang pungguk
Menjadi saksi yang merindu

Tiba masa cahaya bintang itu pudar
Namun pudarnya cuma yang satu
Menyebabkan pengembara mengalir air mata
Tersesat dan kehilangan arah berkelana

Dengan doa dan harapan berterusan si pengembara
Bintang yang pudar bersinar kembali
Menerangi malam meriangkan hati
Buruj mendapat bentuknya kembali

Entah apa silapnya malam
Langit kusam bertambah kelam
Bintang-bintang bersinar suram
Tapi yang satu itu hampir padam

Sang pungguk tidak lagi menunggu
Si perindu juga sudah berlalu
Pengembara salah haluan terus berjalan
Tiada lagi kekaguman
Juga doa harapan
Atau saksi berteman
Agar bintang bersinar kembali

Yang malap tadi telah terang
Tapi yang pudar itu terus padam
Empat bintang tidak lagi bersama
Berpepenjuru membentuk buruj
Empat bintang hilang rupanya
Hilang bentuk dan lupa fungsinya



Tidak lagi aku memuja bintang
Kerana langit malam mengusutkan
Tidak lagi ku mengintai malam
Kerana suram pudarnya meresahkan

Cahaya mentari kuharap kini
Doa didatangi sesuatu yang pasti....

No comments: