Wednesday, May 18, 2016

Perihal Tiga Jenis Usia

Salam hai pembaca budiman, 

Kisah yang aku akan kongsikan ini adalah salah satu artikel dalam kolektif artikel yang telah dibukukan, karangan Norden Mohamed, seorang ketua pengarang dan kolumnis akhbar, berjudul "Nasihat Segar Agar Kita Sedar -MAAF CAKAP".Buku ini diterbitkan oleh Grup Buku Karangkraf (2013). Baru sahaja meminjam buku ini dari Perpustakaan Tun Seri Lanang tempat aku menuntut ilmu, kukira buku ini agak menarik dan kebanyakan kisah nya dekat dengan kehidupan semasa ku. 

Semoga yang membaca mendapat manfaat dari perkongsian ini.. 



"BARU-BARU ini saya bertemu seorang teman lama. Sapaan saya yang ceria kerana sudah lama tidak berjumpa dengannya hanya dibalas dengan sebuah senyuman yang tidak simetrik. Jalannya yang pantas telah bertukar perlahan. Suaranya yang lantang telah berubah menjadi perlahan. Malah, peribadinya yang ligat berubah menjadi tenang lagi menenangkan. 

Saya terus bertanya khabar, bukan sekadar untuk berbasa-basi, tetapi untuk mengetahui mengapa dia berubah laku. Maklumlah, kami berkenalan sejak di zaman muda lagi. Dia terkenal di kalangan kami kerana sering bertukar kerja. Dia memulakan kariernya sebagai kakitangan kerajaan, kemudian bekerja dengan swasta, dengan NGO, bekerja sendiri sehingga akhirnya dia mempunyai pelbagai perniagaan yang di antaranya hartanah, seni bina, sewa kereta, resort, restoran, kafe siber malah kolam memancing.

Teman saya ini mula bercakap mengenai usianya yang tinggal sedikit dan bagaimana dia hendak menghabiskan sisa-sisa hidup ini. Mengenai perniagaannya; dia bercadang untuk menjual sebahagian daripadanya dan yang lain diberikan kepada anak-anaknya. Mengenai hartanya, dia sudah pun mendapatkan perkhidmatan peguam untuk menulis wasiat dan belajar mengenai faraid. Mengenai dirinya, dia hanya ingin memperbanyakkan solat sunat dan bersedekah.

Kesemuanya bermula apabila usianya mencecah 55 tahun. Tiba-tiba larian pantasnya merentasi garisan kehidupan telah bertukar perlahan. Seolah-olah usia itu telah memancung atau memisahkan dua dunianya. Nampaknya, teman saya sudah mengatur baki kehidupannya. Malah, dia kini megurus kematiannya. Mengapa? Kerana teman saya diingatkan oleh usia biologinya. 

Usia biologilah sebenarnya yang membuatkan ramai di antara kita tidak senang duduk. Ramai yang ingin mengelak daripada menghebahkannya kepada orang lain. Malah ada yang cuba menyembunyikan usia biologi ini dengan melakukan pelbagai suntikan dan sedutan agar tubuh tidak kelihatan dimakan usia. 

Usia biologi ini juga yang membuatkan ramai di antara kita rengsa. Bila usia berganjak ke 55 tahun, tiba-tiba diri akan berasa sudah tua dan tidak mahu lagi aktif di pentas kehidupan. Tiba-tiba sahaja mahu menghabiskan sisa-sisa hidup dengan bersedia untuk mati, lantas ingin bertapa di atas tikar sejadah.

Alangkah bagusnya jika kita sedar bahawa di sebalik usia biologi yang lahiriah, terdapat dua lagi usia yang jarang kita ambil perhatian? Jenis usia yang kedua ialah usia psikologi. Usia psikologi menggambarkan tahap pemikiran kita. Malangnya, ramai di antara kita yang terencat usia psikologi kerana mengabaikannya. 

Tidak ramai kanak-kanak yang mempunyai usia psikologi seperti orang dewasa, tetapi ramai orang dewasa yang mempunyai usia psikologi seperti kanak-kanak. Lihatlah perangai kebudak-budakan di kalangan orang dewasa sama ada di pentas politik, perniagaan, guaman, kejuruteraan, ekonomi mahupun kedoktoran. Mereka berakal pendek kerana berperangai budak seperti bergaduh, bertengkar dan menipu.

Jenis usia yang ketiga pula ialah usia spiritual. Lihatlah ramai di antara kita yang meskipun telah lanjut usia biologinya, namun usia spiritualnya masih rendah atau tidak bergerak sejak meninggalkan sekolah. Oleh itu, tidak hairanlah jika ramai lagi yang tidak mengambil agama sebagai cara hidup. Sebaliknya hanya menggunakan agama sebagai budaya tempelan.

Usia biologi akan meningkat sendiri. Tetapi usia psikologi dan usia spiritual perlu disirami agar ia berada di tahap yang seiring. Semakin kita berganjak tua, cara berfikir dan bertindak sudah tidak boleh seperti remaja. Dan usia spiritual melalui cara kita mengamalkan agama sudah tidak boleh setakat melakukan yang wajib seperti kanak-kanak. Sekuarang-kurangnya sudah kerap mengimamkan solat berjemaah dengan keluarga.

Mujur bagi teman saya, walaupun tidak menyedari terdapat usia psikologi dan usia spiritual selain daripada usia biologi, sekurang-kurangnya beliau berusaha agar peribadi dan akhlaknya dipersiapkan agar seganding dengan tubuhnya.

Mujur juga kerana umur 55 tahun dianggap sebagai usia untuk bersara daripada aktiviti keduniaan dan mesra akhirat".