Salah hai hello gentle readers,
Dalam perjalanan aku selama enam tahun sebagai seorang pelajar pasca-siswazah, selain daripada sokongan moral yang kuat daripada kedua-dua ibu bapa,, aku sangat memandang tinggi terhadap penyelia-penyeliaku. Disebabkan perjalanan hidup seorang pelajar pasca-siswazah yang sunyi dan penuh liku, aku rasa tidak mempunyai siapa-siapa untuk berkongsi rasa gundah dan galau. Penyelia-penyelia lah yang ada untuk membantu.
Sedari tahun 2010, aku memulakan langkah dalam arena kajian lanjutan, aku bergantung penuh kepada penyelia ku di Korea Selatan. Apatah lagi dengan situasi diri yang jauh dari keluarga, dengan sifatku yang memang manja, aku anggap penyelia seperti bapaku sendiri. Tempat mengadu masalah, hal sulit hidup atau pembelajaran. Aku sangat memandang tinggi padanya, lebih-lebih lagi dengan ilmunya yang amat mendalam. Aku kagum dan menjadikannya idola. Setiap kali aku patah semangat atau terasa lelah, kata-katanya hampir pasti membuat ku bangkit semula. Walah hanya sepatah puji "Good job"ataupun "well done"; sudah cukup membuat hatiku kembang disalut bangga.
Selepas kajian bagi segulung ijazah sarjana aku tamatkan dengan penuh lelah, aku menyambung pengajian di peringkat tertinggi; doktor falsafah pula. Menginjak 37 bulan aku bergelut melakukan penyelidikan (dalam masa yang sama mengandung dan melahirkan dua anak syurga yang comel), masih aku memandang tinggi terhadap penyelia ku di sini. Aku bersyukur dikurniakan penyelia yang sangat memahami, berdedikasi dan bertanggungjawab. Pada aku, 90% kejayaan PhD adalah dari restu penyelia. Menjaga hubungan baik dengan penyelia adalah kunci utama perjalanan penyelidikan yang mudah,Urusan mengambil tanda tangan yang mudah, urusan menghadiri konferens yang mudah, urusan memohon dana bagi tujuan penyelidikan yang mudah, dan segala-gala nya yang mudah kerana semua yang dilalui sebagai seorang pelajar pasca-siswazah adalah berputar di sekeliling hubungan pelajar-penyelia sahaja. Tanpa persetujuan penyelia, tak mungkin boleh meneruskan kajian. Seawal semester pertama penyelia ku penuh dedikasi menghubungi kenalan/ atau orang perseorangan di sana sini mengatur pertemuan untukku bagi menjalankan kerjasama dengan pihak-pihak tertentu, sehingga akhirnya aku berjaya menandatangani perjanjian kerjasama dengan Malaysia Airport Holding Berhad. Alhamdulillah, langkah pertama yang sangat penting dan berjaya.
Aku di saat-saat genting pengajianku sekarang. Di mana emosi dan semangat ku ikut sama turun dan naik tak kira masa. Satu ungkapan "Well done, Nadia" dari penyeliaku boleh menaikkan semangat ku melangit. Satu ungkapan yang amat mudah seperti "Work hard" darinya boleh mengembangkan dadaku yang dah kuncup layu hampir menyembah bumi. Mengapa ya? Aku tahu aku memandang tinggi kepada penyeli-penyeliaku. Tapi sebenarnya, ungkapan mudah ini, memberi satu harapan baru. Menyuntik rasa bahawa segala kerjaku ditunggu, dihargai dan diharapkan. Memberi rasa yang apa yang aku lakukan tidak sia-sia. Bahawa ada seseorang , iaitu penyelia, amat mengambil berat terhadap aku.
Semua ini selain buat aku berfikir, juga buat aku semat di dalam hati, bahawa di masa akan datang, apabila aku mengambil alih tempat sebagai penyelia (InsyaAllah kelak), aku juga akan menjadi seorang penyelia yang memberi inspirasi kepada pelajar,seperti penyelia-penyelia ku. Betapa sedikit ucapan terima kasih dan good job boleh mengubah dan memberi sinar baharu, Alhamdulillah.
Semoga semua perjalanan ini berakhir baik. Semoga pahit, onak, sunyi perjalanan ini membuahkan hasil yang manis di hujung perjalanan. Semoga Allah memberi jalan, meneruskan hubungan baik aku bersama penyelia-penyeliaku., Semoga mereka di murahkan rezeki dan dipermudahkan perjalanan hidup, kerana sentiasa berlaku baik terhadap pelajar mereka. Ya Allah limpahkanlah kurnia dan berkati penyelia-penyeliaku.
Dedikasi khas buat
Para penyelia,
Prof Dr Sung Ho Joh
Dr Nur Izzi Md Yusoff
En Khairul Anuar Mohd Nayan
Prof Dr Amiruddin Ismail
Mentor yang bersama dari awal langkah perjalanan,
Dato Prof Dr Othman A Karim
dan kedua ibu bapaku,
Mohd Halim Mahfodz
Faridah Ibrahim
Juga penyuntik semangat, pemangkin aku belajar ke tahap tinggi,
atok Hj Ibrahim Liman.
No comments:
Post a Comment