Tuesday, March 17, 2009

Atuk - Cerita Kampung 2

Dalam ceritaku yang sudah aku telah kisahkan perihal aku di sawah serta along ku yang asyik kena rotan. Hehe.. Lucky dia jarang baca blog aku ni.

Kisah kali ini masih berkisar tentang atuk. Dan aku sebagai budak kampung.

Seingat aku, sebelum bermulanya perniagaan CHALET DARUL ASLAH NORFARAH NADIA tu, atuk mencari rezeki dengan padi-padinya dan ikan-ikannya. Sebelum aku masuk tadika lagi, atuk adalah seorang yang mencari rezeki di lautan. Aku tak dapat melihat semula memori aku bersama atuk ke laut. Mungkin aku terlalu kecil, atau atuk memang tak pernah membawa aku ke laut bersamanya. Tapi aku tahu dan ingat, bahawa along pernah ke laut bersama atuk.

Sewaktu atuk menjadi nelayan, aku biasa makan ikan.(memanglah!!) . Tapi paling aku suka sekali ialah lauk ikan masak pindang yang nenek masak. Mungkin sebab lauk tersebut tidak pedas(aku sungguh benci pedas waktu itu). Kerap juga atuk membawa pulang telur penyu dan tuntung untuk santapan kami 4 bercucu. Rasanya setelah direbus sangat sedap dan lemak. (Aku rase bersalah sangat dengan penyu2 sekarang! =( ..) Sekarang aku bukan sahaja tidak sampai hati lagi nk menikmati keenakan telur penyu, tapi telur penyu sendiri memang sangat susah nk didapati. Kalau adapun harganya sangat mahal.

Pemandangan atuk membaiki jaring sangat biasa sewaktu aku kecil. Aku selalu tertarik dengan anak ikan kecil serta ikan bilis kering yang terlekat di jaring sewaktu atuk membaiki atau menjahit jalanya yang terkoyak. Tapi biasanya aku tidak dibenarkan mendekati jala dan jaring atuk. Aku tidak tahu mengapa, mungkin atuk risau aku terbelit dalam jaringnya yang lebar da kasar itu. Ya, mungkin juga.

Pada waktu dinihari pula,apabila tiba musim geragau,(pada yang tak tahu, geragau adalah udang yang sangat kecil dan halus, yang kamu lihat dalam cencalok tu) ; atuk akan turun ke laut menggalah. dengan jaringan yang di cantum bersama dua batang galah panjang di kiri dan kanan, atuk akan menggalas alatan tersebut( sumpah aku lupa nama benda tersebut sekarang!) dan berjalan perlahan di pesisir laut(cuma paras pinggang dewasa) untuk menjala geragau. Apabila jala yang digalasnya terasa berat atau penuh, barulah atuk berhenti dan naik ke darat.

Apabila tiba hari siang, nenek akan memulakan tugasnya pula. Geragau yang telah atuk dapatkan itu akan nenek jemur di atas kanvas dan biasanya memenuhi kawasan perkarangan rumah kami. Sambil bermain, aku suka mengambil geragau kering yang sedang dijemur itu dan meratahnya begitu sahaja. Rasanya tawar , tapi agak rangup. Setelah geragau tersebut kering, nenek akan menyimpannya di dalam guni pula. Kadangkala terdapat berguni-guni geragau menanti masa untuk proses seterusnya.

Nenek biasanya menggunakan geragau tersebut untuk membuat belacan. Aku cuba mengerah memori ku untuk mengingat adakah aku pernah melihat nenek membuat cencalok, tapi gagal. Mungkin kerana proses membuat cencalok hanya berlaku di dapur, menggunakan geragau basah, jadi aku tidak ambil peduli. Berbalik kepada belacan tadi ; geragau yang kering akan dimasukkan dalam satu lesung kayu. Jangan terbayangkan lesung batu di rumah kalian, kerana lesung kayu ini mungkin 20 kali ganda besarnya. Aku pernah melihat lesung sebegitu ketika melawat makam mahsuri sewaktu aku berada di seolah rendah. Selepas daripada itu, aku tak pernah melihatnya lagi.

Berbalik lagi semula ke cerita lesung. Lesung kayu yang aku maksudkan adalah besar, alat penumbuknya adalah batang kayu sebesar betis dan panjang lebih kurang 2 meter. Di tengah-tengah kayu tersebut dalah lebih'kurus' berbanding hujung dan pangkalnya, sebagai tempat pemegang. Biasanya terdapat dua kayu penumbuk. Geragau yang kering akan dimasukkan ke dalam lesung dan ditumbuk oleh nenek. Aku juga ikut membantu. Kayu penumbuk tersebut berat, tapi aku masih mampu mengangkatnya =). Geragau ditumbuk sehingga lumat, oh ya, nenek juga memasukkan sejumlah garam dalam geragau tersebut sebelum ditumbuk. Geragau yang telah lumat dikeluarkan dan dijadukan satu gumpalan besar sebelum diasingkan ke tepi. Kemudian proses menumbuk geragau berulang sehingga habis semua geragau kering dalam guni tadi. Masa itu akan terdapat banyak 'bola-bola belacan' yang besar. Aku juga mempunyai 'bola belacan' ku sendiri, tapi kecil sahaja, seperti bola pingpong, untuk ku ratah. Belacan mentah yang baru lepas ditumbuk sangat enak dan sedap dimakan. Aku lebih tertarik kepada rasa masinnya sahaja.

Proses seterusnya aku tidak berapa pasti. Mungkin aku terlalu seronok dengan upah 'bola belacan' yang aku perolehi sampai aku tak mengambil tahu apa terjadi dengan ketulan-ketulan besar belacan tadi. Tapi seingat aku ia makan masa berhari-hari juga sebelum nenek menggunakan acuan untuk mengubah belacan tersebut menjadi kepingan berbentuk bulatan, atau pun cuma membentuk bola belacan yang besar tadi menjadi bola yang lebih kecil ( sebesar penumbuk atuk).

Bagi sesiapa yang tidak tahu apakah itu belacan dan apakah kegunaan belacan, silalah bertanya kepada orang-orang tua di rumah anda. Kalau tidak tahu juga, cubalah google di internet. Mana tahu jika anda beruntung boleh jumpa jawapannya!

Selain menggalah udang geragau, aku masih ingat ketika suatu petang, atuk pulang dari ke laut dengan membawa ikan yu. Apa? ikan Yu? Ya kawan-kawan, ikan yu sebesar bot itu atuk dan rakannya berjaya tangkap di laut. Kejadian tersebut berlaku terlalu lama dahulu sehingga aku hanya boleh mengimbas saat-saat aku mencucuk mata ikan yu tersebut dengan ranting kayu. (ramai penduduk pantai yang mengerumuni bot tersebut waktu itu) . Aku tidak ingat apa nasib seterusnya ikan yu itu.

Pada masa sekarang, tidak ramai lagi yang turun ke laut di kampungku. Jika ada pun orang-orang tua sahaja. Ada juga beberapa pemuda kampung, tapi boleh dibilang dengan jari tanganku ini. Itupun sebelah tangan sahaja. Seringkali bila hujung minggu balik kampung, kuperhatikan masih ada juga orang menggalah mencari geragau. Tapi mungkin tidak serancak dahulu. Dan aku juga tidak pasti samada geragau yang didapati itu dibuat belacan atau dicampur dengan tepung untuk dibuat jemput-jemput geragau. (Oh, aku lupa bercerita tentang betapa enaknya jemput-jemput geragau!!)

Ikan yu masih boleh didapati di perairan kampungku, tetapi cuma anak-anak ikan yu yang sebesar lengan sahaja. Aku pernah menyaksikan seorang jiranku di kampung selamba aja menyiang anak ikan yu untuk dimasak tahun lalu.

Masih banyak lagi kenangan dan kisah menarik aku sebagai seorang budak kampung. Cuma masa sahaja yang mendesak. Kita bercerita lain kali ya.

3 comments:

Rahsia Kurus Pikat Lelaki said...

nak belacan!!!!
hehe..ko tau x gergau tu ape??
gergau tuh ialah plankton yg menjadi makanan penyu dilaut..
dah abeh kene buat belacan geragau tuh, sbb tuh pnyu xnak dtg da....haha

NORFARAH NADIA said...

HAHA yeke arip?
tak tau pulak geragau tu penyu mkn.. nmpak cam besar je.. bukanke plankton tak nmpak dek mata?
hehe..
nenek skang dah tak wat belacan.. dah moden.. santan pun main beli paket. .

Rahsia Kurus Pikat Lelaki said...

plankton mcm dlm cite spongebob tula..kan ko nmpk kat mate ko..hehe