Aku sedang leka mengambil gambar pemandangan tatkala dia menegurku dari belakang.
"Ambil gambar apa tu?" soalnya.
"Oh, itu dia logo CAU yang terpampang megah tu. Kelihatan indah dari jauh." jawabku dengan senyuman.
Dia berdiri betul-betul di sebelahku dan meminta izin melihat telefon bimbitku.
"Ini ialah telefon bimbit dari Malaysia dan tidak boleh digunakan di sini." Ulasku tanpa dipinta.
Kepalanya diangguk-anggukkan beberapa kali. Kami terdiam buat seketika.
"Kehidupan sangat sukar di sini." Tiba-tiba dia memecah hening. "Segala-galanya teramat sukar bagi saya."
Aku memandangnya tepat. Cuba mencari pengertian dari kata-kata yang baru diluahkannya tadi. Meneka ayat seterusnya yang bakal keluar dari bibirnya.
"Adakah awak tahu, bahawa saya hanya seorang diri dalam menjalankan kajian projek saya. Sedangkan bagi projek turapan, terdapat empat orang yang sedang bekerjasama dalam menjayakan kajian tersebut."
Aneh, fikirku. Apa yang cuba dia sampaikan sebenarnya.
"Setiap kali proposal saya dihantar pada Professor, ia akan ditolak. Awak mungkin belum cukup mengenali beliau kerana sikap dan layanan baiknya terhadap kalian semua. Tapi selepas satu semester berlalu, inilah nasib saya. Kajian ini masih belum sempurna dijalankan di mana-mana. Segala-galanya masih dalam peringkat pemerhatian. Maka kesusahan yang saya alami bukan sedikit." Terang beliau panjang lebar.
"Kalau awak perlukan sebarang pertolongan, saya boleh bantu apa yang patut." Ujarku cuba meredakan ketegangan.
"Saya sedang buntu sekarang. Lebih daripada 120 penerbitan merangkumi jurnal, prosidang dan bahan rujukan lain telah saya kumpulkan dan selidiki, tetapi tetap tidak menemui sebarang jalan keluar. Tambah menyukarkan lagi, saya bergerak sendirian. Professor pula lebih banyak menyangkal dari memberikan pendapat. Tanggungjawab yang dibebankan terhadap saya terlalu berat. Harapan yang diberi juga terlalu tinggi." Keluhan berat dilepaskan serentak habis pernyataannya. Nyata tawaranku memberi pertolongan tadi tidak diendahkan.
"Awak tertekan ke?" Soalku, pendek.
"Ya, saya tertekan. Awak bayangkanlah, saya cuma pelajar sarjana tetapi kajian saya bertaraf PhD. Professor mengharapkan lebih dari apa yang saya mampu. Dan projek saya inilah sumber dana yang membiayai segala perbelanjaan di makmal kita. Maka saya perlu terus bekerja keras bagi memastikan projek ini berjaya. Tanggungjawab berat terpikul di bahu saya. Kadang-kadang tak tertanggung rasanya."
Aku cuba mencari riak sedih dari keluhannya itu. Tapi yang kujumpa cuma wajah cekalnya memandang hadapan. Sambil leka menghembus asap rokok. Dia kelihatan seperti mengadu, namun riak wajahnya selamba seolah tiada apa berlaku.
"Awak mungkin seorang yang tabah dan kuat semangat." dugaku. "Kalau tidak, tak mungkin awak terus berada di sini. Dari apa yang saya dengar dari Noe, projek awak memang terhad sumber rujukannya." Aku masih terus cuba berbasa-basi.
"Ah! Noe. Saya mengumpulkan begitu banyak bahan rujukan. Tetapi Noe mebaca tiga daripadanya dan diberi pujian yang melambung oleh Professor. Itupun jurnal yang berada dalam simpanan saya." Pantas tingkahnya menunjukkan iri. "Saya juga berdepan dengan masalah kewangan yang terhad. Professor memberi saya sejumlah peruntukan untuk kajian ini. Namun begitu perbelanjaan yang harus saya keluarkan terlalu tinggi. Adakalanya saya harus keluarkan wang sendiri untuk lawatan tapak dan meneruskan ekperimen. Kos kajian projek adalah tinggi." Luahnya lagi.
"Sabarlah." pujukku lembut. "Awak pasti boleh melakukannya. Projek ini pasti akan berjaya."
Seakan masih belum berpuas hati. Dia menyambung lagi. "Semasa menghadiri latihan khidmat negara, saya sudah diberi tekanan sebegini. Saya ialah seorang pemandu kereta kebal."
Sekarang aku baru tahu hubungkait kenyataan tersebut dengan susuk tubuhnya.
"Professor tahu akan kebolehan saya. Setiap kali majlis keraian dijalankan, dia akan mabuk teruk, awak pun tahu bukan?"
Aku mengangguk pantas.
"Saya lah yang akan disuruh memandunya pulang ke rumah. Kawasan rumahnya jauh dari kediaman saya, dan pada waktu tengah malam sebegitu, kenderaan awam yang ada untuk saya pulang ke rumah hanyalah teksi. Awak sediri maklum betapa tingginya kadar tambang teksi di sini. Saya tidak pernah dapat menyimpan malahan baki akaun saya tiap bulan kekurangan." Semakin panjang keluhannya. Semakin terbongkar bebanan yang terpendam dalam hatinya.
Aku makin dapat merasai berat tanggungan tersebut.
"Awak seorang yang tabah. Awak menempuh banyak kesusahan namun awak tidak mengalah. Sejujurnya saya sendiri tak tahu apa tindakan saya sekiranya saya berada di tempat awak sekarang. Jadi teruskanlah berusaha dan bersabarlah." Aku mengangkat kepala memandangnya tepat.
"Ah, ianya sangat susah. Terlalu sukar buat saya." Kata-kata ini diulang entah sudah berapa kali.
Aku memandang penuh simpati. Terbungkam lagi tidak tahu kalimah apa yang harus kuluahkan lagi.
Dia tersenyum memandangku. Seolah-olah telah lepas segala yang disimpan. Perbualan kami beralih topik kepada keadaan cuaca di sana. Kali ini lebih santai dan penuh keterujaan.
Usai semuanya, beriring kami kembali ke medan kerja di dalam makmal. Cuma kepalaku sahaja yang masih berat dengan persoalan. Dia seorang yang berbangsa Korea dan jauh lebih tua daripada aku. Dia terbeban dengan hal kerjanya serta tingkah layanan dari Professor. Dia cuma pulang ke rumah dua kali dalam seminggu. Selebih masanya adalah di dalam makmal. Bagaimana pula halnya dengan aku kelak?
*****
p/s: Perbualan ini berlaku antara aku dan Oppa Song Jae, salah seorang senior tahun dua di makmal tempatku belajar. Dan sudah tentu ini adalah hasil terjemahan aku yang terbaik. Kerana perbualan kami boleh diibaratkan seperti ayam dan itik. Akan tetapi, aku sungguh pasti inilah intipati utama perbualan tadi.
|
CAU dan perpustakaannya-pemandangan dari bangunan kejuruteraan aras 6 |
|